Laxmana Do Re Mi

Laksamana Do Re Mi (Laxmana Do Re Mi)
PengarahP. Ramlee
PenulisP. Ramlee
Lakon layarP. Ramlee
Dibintangi
  • P. Ramlee
  • AR Tompel
  • Ibrahim Din
  • Dayang Sulu
Disunting olehJohari Ibrahim
Syarikat
penerbitan
Merdeka Film Productions
Diedarkan olehShaw Organisation
Tarikh tayangan
12 Mei 1973 (Malaysia)
NegaraMalaysia
BahasaMelayu

Laxmana Do Re Mi (ejaan baku: Laksamana Do Re Mi) merupakan sebuah filem komedi fantasi Melayu hitam putih yang diterbitkan oleh Studio Filem Merdeka di Malaysia pada tahun 1972 dan mula ditayangkan pada 12 Mei 1973 arahan P. Ramlee. Filem ini terkenal selaku filem terakhir P. Ramlee yang diterbitkan sebelum beliau meninggal dunia tidak lama kemudian pada 28 Mei, serta filem terakhir AR Tompel sebelum beliau juga turut meninggal dunia.

Sinopsis

Filem ini mengisahkan cereka fantasi tentang tiga orang lelaki yang tiada pekerjaan dan ingin mencari kerja untuk menampung hidup. Setelah dihalau dari rumah (yang didirikan secara haram di atas pokok), mereka merantau dan menyelamatkan Puteri Bunian iaitu Puteri Buloh Betong. Puteri tersebut mengurniakan tiga hadiah untuk mereka kerana menyelamatkannya. Do mendapat tikar terbang yang akan membawa mereka ke mana sahaja yang dikehendaki. Re pula mendapat teropong sakti yang mampu melihat mana-mana tempat, mana-mana peristiwa yang berlaku pada bila-bila masa di seluruh dunia. Mi pula mendapat bangsi (atau harmonika) hikmat yang akan mendapatkan benda yang diingini setelah berniat dan meniupnya.

Mereka bertiga menuju ke negara Pasir Berdengung untuk mencari kerja sebagai Laksamana. Di sana, mereka menyertai perlawanan untuk menjadi Laksamana. Mereka bertiga berjaya mengalahkan laksamana negara setelah memakan ubat kuat (ma'jun) lalu mereka dilantik menjadi Laksamana Negara. Mereka diminta untuk memberi bantuan kepada Negara Pasir Dua Butir yang telah diserang Menteri Fasola. Menteri Fasola merupakan bekas menteri pertahanan negara Pasir Dua Butir (memberontak terhadap negara disebabkan pinangannya kepada Puteri Puncak Mahligai ditolak baginda Sultan Pasir Dua Butir). Pengembaraan mereka berterusan untuk mencari Puteri negara itu dan mengalahkan Menteri Fasola dengan alatan yang mereka ada. Pada mulanya mereka agak sukar untuk menewaskan Fasola kerana dia kebal, tetapi dengan bantuan Tuan Puteri Buloh Betong, Fasola mati dibunuh oleh Do menggunakan sebatang buluh runcing yang ditikam di tapak kakinya. Mereka bertiga menjaga Tuan Puteri Puncak Mahligai semalaman sebelum menghantar pulang ke Negara Pasir Dua Butir keesokkan harinya.

Keesokan harinya mereka pulang ke Negara Pasir Dua Butir. Di sana Laksamana Do, Re, Mi menuntut janjinya daripada Raja negara itu. Oleh kerana keadaan negeri itu yang belum lagi stabil, Raja telah menitahkan anaknya untuk pulang bersama-sama dengan laksamana bertiga ke Negara Pasir Berdengung untuk melaksanakan upacara perkahwinan. Sambil itu Raja juga berpesan kepada anaknya, ibarat tarik rambut dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak.

Maka berangkatlah Tuan Puteri Puncak Mahligai bersama dengan laksamana bertiga pulang ke Negeri Pasir Berdengung. Tiba di sana, lain pula ceritanya. Raja Pasir Berdengung terpikat dengan kecantikan Tuan Puteri Puncak Mahligai. Lalu mengambilnya menjadi permaisurinya.

Masuk angin keluar asap; itulah yang dirasai oleh laksamana bertiga. Dan sebagai raja yang adil, Raja telah menggantikan Tuan Puteri dengan 3 orang dayang istana yang dikatakan cukup cantik, cukup masak dan hanya menunggu dikhawini. Setelah melihat dayang istana itu, Laksamana Do, Re, Mi lari meninggalkan istana kerana berpendapat dayang-dayang istana itu cantik seperti buah ‘mengkudu masak’ (masam rasanya).

Barisan pelakon

Pelakon utama

  • P. Ramlee sebagai Do
  • AR Tompel sebagai Re
  • Ibrahim Din sebagai Mi
  • Dayang Sulu sebagai Puteri Buloh Betong dan Puncak Mahligai

Pelakon pembantu

  • Idris Hashim sebagai Penasihat diraja kerajaan Pasir Dua Butir
  • Noorizan sebagai Permaisuri kerajaan Pasir Dua Butir
  • C. M. Bakar sebagai Raja kerajaan Pasir Dua Butir
  • Ramli Ismail (Ramli Kechik) sebagai Perdana menteri kerajaan Pasir Berdengung
  • Osman Botak sebagai Ketua laksamana di gelanggang
  • Bakar Kerinting sebagai Laksamana di gelanggang
  • Bakar M. sebagai Tuan tanah kebun / kedaun
  • A. K. Jailani sebagai Lelaki polis
  • Mak Enon sebagai Dayang istana
  • Minah Yem sebagai Dayang istana

Pelakon undangan

Pelakon tambahan

  • Said Daud sebagai Tukang gaji pokok
  • Yusof Haslam sebagai penonton perlawanan

Runut

  • "Bujang Merempat" nyanyian Tan Sri P. Ramlee, A. R. Tompel & Ibrahim Din
  • "Miyo Tokai no Sora Akete" nyanyian Tan Sri P. Ramlee, A. R. Tompel & Ibrahim Din
  • "Malam Tak Bergema" nyanyian Puan Sri Saloma

Lihat juga

  • Do Re Mi
  • Nasib Do Re Mi

Pautan luar